Rabu, 1 Jun 2011

Home » , , , , » Muhajir Ideal.....KISAH TOKOH WANITA HEBAT....

Muhajir Ideal.....KISAH TOKOH WANITA HEBAT....


 Keupayaan wanita melakukan kerja amal bakti dalam Islam wajar kita teliti buat diteladani.
Tokoh dimaksudkan ialah Syifa’ binti Abdullah bin Syams bin Khalafal-Qurasyiyah. Beliau memeluk Islam sebelum peristiwa hijrah lagi dan bersama kaum Muhajirin lain berhijrah ke Madinah dalam kelompok pertama.
Rasulullah SAW sangat menghormati wanita ini sehingga Baginda sering mengunjungi rumahnya. Diceritakan, suatu hari Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Wahai Syifa’, ajarkanlah kepada Hafshah menjampi (mengubati dengan doa) penyakit bisul seperti mana engkau mengajarnya menulis.”
Sikap prihatin Rasulullah SAW kepada Syifa’ sehingga dikatakan Baginda telah menyediakan sebuah rumah khusus untuk dia tinggal bersama anaknya.
Syifa’ seorang wanita yang mempunyai kewibawaan unggul, berfikiran cerdas dan berintegriti. Umar al-Khattab juga sangat menghormatinya dan sentiasa mengutamakan buah fikirannya dalam pelbagai bidang.
Umar dikatakan pernah menyerahkan tanggungjawab mengelolakan urusan pasar kepada Syifa’. Selain itu, Syifa’ juga seorang perawi hadis malah dia meriwayatkan hadis terus daripada Rasulullah SAW sendiri.
Selain itu, ada juga hadis diambilnya daripada Umar al-Khattab. Seseorang yang rajin menekuni sejarah hadis, pasti akan berjumpa dengan banyak hadis diriwayatkannya. Imam Abu Daud adalah orang yang banyak mengambil hadis direkodkan oleh Syifa’ yang mahir dalam penulisan sejak zaman jahiliah lagi.
Kemudian, selepas memeluk Islam beliau menjadi seorang guru mengajar membaca dan menulis kepada kaum Muslimin. Antara yang pernah mendapat didikan menulis darinya itu ialah Ummul al-Mukminin Hafshah.
Beliau pernah bertanya Rasulullah mengenai amalan yang paling utama, lalu Baginda mengatakan: “Beriman kepada Allah dengan sepenuh hati, berjihad di jalan Allah, dan haji yang mabrur”. Inilah salah satu hadis diriwayatkan dan direkodkan dalam Kitab Al-Ishabah dan Kitab Al-Musnad.
Begitulah hebat dan unggul seorang tokoh wanita Muslim yang pernah diangkat martabatnya oleh Rasulullah SAW dan dilimpahi kurniaan sebagai seorang yang mahir dalam bidang perawatan juga akademik iaitu penulisan.
Dia guru pertama yang mengajar umat Islam menulis dan ini membuktikan kaum wanita mempunyai peranan besar terhadap bangsa, negara dan agama seperti dibuktikan oleh Syifa’.
Inilah satu contoh bagaimana umat Islam pada zaman Rasulullah termasuk golongan wanita bersama memainkan peranan dan bertanggungjawab melakukan kerja amal bakti dalam menegak syiar agama serta mengukuhkan kesepaduan ukhuwah.
Kisah itu juga membongkar satu usaha komitmen jitu golongan wanita yang ingin membantu Nabi SAW serta berusaha mewujudkan kehidupan sosial yang dinamik khasnya dalam bidang pendidikan dan perubatan.


by:
Mohamad Fadzlanshah
CINTA ALLAH CINTA ABADI/Doc


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger

page counting

 
back to top